Home Politik Pembangkang menang, kestabilan negara terjejas

Pembangkang menang, kestabilan negara terjejas

Khairy akan berjumpa dengan Rafizi di mahkamah untuk menghentikan budaya fitnah yang cukup digemari Naib Presiden PKR itu.
Khairy akan berjumpa dengan Rafizi di mahkamah untuk menghentikan budaya fitnah yang cukup digemari Naib Presiden PKR itu.

KUALA LUMPUR – Masa depan Malaysia bagaikan ‘telur dihujung tanduk sekiranya parti pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata,  kestabilan negara yang dinikmati hari ini bakal terjejas seandainya rakyat membuat pilihan salah.

“Kalau pembangkang menang, nauzubillahmin zalik, pelabur akan lari dari Malaysia, kestabilan politik kita terjejas, kita akan lihat ramai akan keluar dari Malaysia.

“Peluang-peluang pekerjaan yang nak kita wujudkan untuk anak muda sudah tidak ada lagi, malah hasil pendapatan kerajaan akan merudum.

“Apa yang kita belanja untuk rakyat ke hospital, rumah pangsapuri dan persekolahan sudah tiada lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda BN Wilayah Persekutuan di dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Ketua Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) menerima cenderahati daripada Ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii pada Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda BN Wilayah Persekutuan di dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii dan kepimpinan pemuda parti komponen.

Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO juga menegaskan, masa depan negara khususnya untuk golongan muda  terjamin dan terbela di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin BN.

“Kalau kita nak masa depan yang cerah, kalau ingin masa depan yang cerah untuk anak muda Malaysia, untuk pengundi muda Malaysia dalam pilihan raya akan datang, pilihannya hanya satu iaitu BN,” katanya.

Terdahulu Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan bersama kira-kira 300 Pemuda BN secara konvoi bermotosikal mengadakan lawatan ke Parlimen Bandar Tun Razak dan Batu.

 

Aksi seni mempertahankan diri Briged Gempur Pemuda BN Wilayah Persekutuan pada Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda BN Wilayah Persekutuan di dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau juga mendakwa para pengundi di kedua-dua parlimen di Wilayah Persekutuan itu mengakui wakil rakyat dari PKR tidak pernah membantu mereka selepas memenangi pilihanraya lepas.

“Saya tanya selama lima hingga 10 tahun duduk di bawah pembangkang, siapa yang jaga nasib dan kebajikan pengundi di kawasan-kawasan ini.

“Saya tanya kepada mereka, apakah wakil rakyat daripada parti lawan jaga nasib mereka. Mereka cakap kepada saya 24 jam satu hari tujuh hari seminggu yang jaga nasib mereka, yang sakit, miskin dan daif adalah BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.