Home Politik PPBM sudah jadi bunga layu – Ku Nan

PPBM sudah jadi bunga layu – Ku Nan

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor =selepas merasmikan Briged Gempur Pemuda BN Wilayah Persekutuan di dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPURĀ – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan, pihaknya tidak pernah sesekali masuk campur dalam urusan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau berkata, tiada keperluan untuk BN mencampuri urusan parti pembangkang sambil menyifatkan parti yang diasaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu sebagai sudah tidak bermaya dalam arena politik negara.

“Itu masalah mereka, apa kita nak campur dia, dia campur kita buat apa. Dia (PPBM) sudah jadi bunga layu.

“(Tuduhan) mengarut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Briged Gempur Pemuda BN Wilayah Persekutuan di dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Pemuda Parti Komponen BN Wilayah Persekutuan menyaksikan video klip sempena pelancaran Briged Gempur Pemuda BN Wilayah Persekutuan di dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam yang mendakwa semua aduan yang dibuat ahli-ahli parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) ditaja oleh pihak Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Mukhriz berkata, ia bertujuan untuk membolehkan alasan itu untuk membatalkan pendaftaran PPBM sekali gus memperkukuhkan kedudukan Najib, BN dan UMNO dalam pentadbiran negara.

Tengku Adnan juga berkata lagi, PPBM tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak lain sebaliknya perlu berdepan dengan kemelut dalaman parti itu sendiri.

“Dia yang tak tahu jaga parti, dia jawab sendiri la,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula berkata, tiada keperluan untuk pihaknya menafikan dakwaan itu susulan tuduhan itu tidak berasas.

“Buat apa kita nafi, memang tak ada (dalang RoS). Saya boleh beri jaminan, ini bukan kerja ahli UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette