Home Nasional Hasil GST dipulangkan kepada rakyat – Adnan

Hasil GST dipulangkan kepada rakyat – Adnan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menyampaikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M 2018) kepada sebahagian daripada 2000 penerima pertama bantuan tersebut pada Majlis Pelancaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M 2018) Peringkat Kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan, Pahang. foto SAFWAN MANSOR, 25 FEBRUARI 2018

PEKAN – Walaupun kerajaan mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) namun hasilnya masih dipulangkan semula kepada rakyat, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Adnan berkata, langkah kerajaan memperkenalkan GST kerana terdapat ramai peniaga-peniaga dan syarikat yang lari daripada membayar cukai tetapi dengan pengenalan GST menggantikan cukai Jualan dan perkhidmatan (SST) mereka tidak lagi dapat melakukan perkara sama.

“GST kita terpaksa buat kerana selama ini menggunakan sistem SST dahulu tidak dapat dikutip banyak cukai kerana orang lari dari cukai.

“Tetapi bila kena GST ini, maka peniaga-peniaga dan sebagainya tidak dapat lari daripada cukai,” kata beliau semasa menghadiri majlis pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2018 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan pemberian BR1M yang akan bermula esok dengan 7.2 juta penerima dan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion.

Adnan menegaskan, walaupun kerajaan mengutip GST tetapi hasil yang dikutip dipulangkan semula kepada rakyat, sebagai contoh pemberian BR1M setiap tahun kepada rakyat.

“Walaupun kita semua dikenakan cukai secara tidak langsung, tetapi pada ketika sama duit GST ini diberikan balik kepada rakyat,” katanya.

Beliu juga menasihati agar rakyat tidak termakan hasutan pembangkang yang membuat tuduhan tidak berasas kepada kerajaan.

“Jadi kita fikir lah, jangan kita dengar hasutan pembangkang dan sebagainya

“Pilihan raya tak lagi, tak ada pilihan raya pun kerajaan beri juga,” katanya. – MalaysiaGazette