KUALA LUMPUR – Rakyat dalam Parlimen Setiawangsa perlu memastikan Barisan Nasional (BN) menang ‘bergaya’ dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang jika mahu pembangunan dan bantuan kebajikan terus dinikmati mereka.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebaliknya berkata, keadaan itu berbeza dan sukar diteruskan sekiranya BN hanya mendapat majoriti mudah meskipun parti itu tidak mengamalkan dasar diskriminasi kerana berbeza fahaman politik.
“Pastikan bahawa Parlimen Setiawangsa ini tetap menjadi kubu BN dan menang bergaya, jangan menang sikit-sikit.
“Bila menang bergaya, apa yang kita minta mudah, bila menang sikit-sikit, ini betul atau tak betul, kita pun pening. Jadi kita nak menang dengan bergaya.
“Biar kita menang bergaya, jangan menang (majoriti) rendah, kalau kita menang bergaya, orang akan melihat kepada kita,” katanya ketika berucap dalam Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Setiawangsa di Pusat Komuniti Setiawangsa, di sini. hari ini.
Tengku Adnan juga mahu jentera BN ‘bangunkan’ masyarakat Cina dalam kawasan Setiawangsa dan menjelaskan bahawa DAP satu-satunya parti politik cauvanis yang akan memusnahkan mereka.
“Orang Cina tolong bangunkan mereka, pergi jumpa mereka, jelaskan kepada mereka kerana percayalah saya, DAP akan memusnahkan kaum Cina.
“Hanya MCA dan Gerakan akan memastikan apa jua yang mereka mahu akan ditunaikan kerana mereka adalah sebahagian daripada komponen BN,” katanya.
Katanya, keupayaan dan manifesto BN bukan sahaja telah diuji bahkan terbukti membela semua kaum tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.
“Baru-baru ini Perdana Menteri meluluskan 16 Sekolah Rendah Jenis (Cina) lagi malah kita terbukti.
“Mereka tak mungkin dapat Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR UC) kalau tidak bersama dengan BN, kerana mereka bersama dengan kita boleh hantar anak-anak mereka mendapatkan pendidikan tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette