Home Politik Lantik peguam PKR selesai isu tanah Ijok meragukan

Lantik peguam PKR selesai isu tanah Ijok meragukan

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Sosial NBOS Kejiranan Indah di Mentari Court, Taman Seri Mentari, Petaling Jaya, Selangor. foto NIZAM ZAIN, 14 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan Selangor dibawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melantik peguam PKR sebagai perantara menyelesaikan kemelut tanah Ijok menimbulkan keraguan.

Noh Omar

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, mustahil tidak timbul keraguan apabila Mohamed Azmin memilih peguam yang juga satu parti dengannya dalam kes itu mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

“Jika peguam adalah seorang Ahli Parlimen PKR dan ketuanya juga pemimpin PKR (Mohamed Azmin) yang juga Timbalan Presiden PKR, sudah tentu wujud keraguan dalam perkara ini,” beliau dipetik berkata hari ini.

Terdahulu, Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin tampil mendedahkan sebuah syarikat guaman yang dimiliki pemimpin PKR dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dilantik dalam penyelesaian skandal tanah Ijok.

Selain itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To Choong juga mempertikai langkah tersebut kerana menimbulkan pelbagai persoalan yang masih gagal dijawab sehingga sekarang.

Choong turut membangkitkan persoalan sama ada firma guaman dilantik itu ada memaklumkan kepada semua peneroka bahawa tanah mereka akan dijual kepada dua syarikat pemaju terbabit dengan harga RM1.18 bilion, yang mana golongan berkenaan hanya mendapat RM300 juta, manakala bakinya adalah milik pemaju terbabit.

Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Mohamed Azmin juga didesak menjelaskan isu tanah bernilai RM1.18 bilion yang dijual kepada dua syarikat pada tahun 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan itu dibuat sebelum kes didengar di Mahkamah Persekutuan.– MalaysiaGazette