PORT DICKSON – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak hari ini menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai parti yang semakin terumbang-ambing dibadai politik semasa.
Najib berkata, jelas PPBM semakin bercelaru apabila mengadakan perhimpunan agung di peringkat nasional sedangkan tidak mengadakan sebarang mesyuarat di peringkat cawangan mahupun bahagian.
“BN tidak takut kepada sesiapa, takut apa parti siang malam hidup pun kita tidak tahu. Haru biru parti, parti bunga tenggelam timbul sebab mesyuarat cawangan dan bahagian pun tidak boleh buat.
“Alih-alih ada mesyuarat di peringkat pusat. Adakan AGM tiba-tiba sahaja. Kononnya nak ikut UMNO, tapi tidak boleh ikut,” katanya dalam ucapan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Teluk Kemang, Negeri Sembilan.
Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, Pengerusi BN Teluk Kemang, Tan Sri Isa Samad dan pemimpin parti komponen BN.
Hampir 10,000 hadir memeriahkan majlis yang diadakan di Kompleks Pejabat Daerah Port Dickson hari ini.
Najib yang dalam rangka lawatan ke Negeri Sembilan berkata, UMNO sebagai tunjang BN tidak pernah mengamalkan cara sedemikian dalam memastikan parti itu terus dapat membela rakyat di peringkat akar umbi.
“UMNO kita ada mesyuarat di peringkat cawangan, bahagian lepas itu ada jawatankuasa pemantau dan pemerhati dan ada jawatankuasa displin. Kalau tidak betul mesyuarat itu, dipanggil balik buat.
“Di peringkat nasional pun kita pilih dengan sistem memilih calon untuk hadir diperingkat perhimpunan agung,” katanya.
Rabu lalu, PPBM bertindak mengemukakan permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi perintah supaya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjawab permohonan mendaftarkan gabungan itu.
Permohonan itu dibuat bagi memohon mendapatkan kebenaran bagi pengisytiharan tindakan ROS tidak mendaftarkan Pakatan Harapan (PH) sebagai pertubuhan berdaftar adalah bercanggah dengan kewajipan statutori badan itu dan bercanggah dengan harapan sah mereka (pemohon).
Mengulas lanjut, Najib berkata, BN tidak gentar dengan mana-mana parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).
“Kita takut apa parti macam itu.
“RoS pun sudah pening, nak lulus atau tidak (gabungan Pakatan Harapan). Itu hak dia, tetapi mesti ikut perlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette