KUALA LUMPUR – Jika benar dakwaan jutawan gula, Tan Sri Robert Kuok menaja DAP ia merupakan satu pengkhianatan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang banyak berjasa kepadanya.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jika dakwaan itu benar ia suatu yang mengecewakan kerana Robert banyak mendapat manfaat besar daripada kerajaan sebelum ini sehingga menjadi orang terkaya di Malaysia.
“Saya terkejut sekiranya benar apa yang dilaporkan sebelum ini terdapat tokoh korporat yang menjadi penyumbang kepada parti politik pembangkang sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk menggulingkan kerajaan yang dipimpin hari ini.
“Lebih mengecewakan lagi apabila tokoh tersebut mendapat manfaat yang besar hasil daripada dasar kerajaan BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azalina menyifatkan ia sebagai pengkhianatan kepada BN apabila berselindung disebalik parti pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.
“Tindakan tokoh korporat itu juga dilihat sebagai mengkhianati jasa dan sokongan yang pernah diberikan oleh Kerajaan BN selama ini.
“Mana-mana tokoh korporat tidak seharusnya berselindung disebalik parti politik dengan agenda tertentu dan menjadi talam dua muka,” ujarnya lagi.
Beliau turut menggesa supaya Kuok tampil membuat penjelasan berhubung dakwaan melibatkan dirinya dengan DAP tersebut.
“Justeru Kuok perlu tampil menyatakan pendirian dan menafikan tuduhan yang dilontarkan terhadap beliau dan bukannya membiarkan pihak ketiga atau saudara mara menjawab bagi pihaknya,” katanya lagi.
Utusan Malaysia pada 23 Februari melaporkan dakwaan Robert mempunyai agenda menggantikan pentadbiran kerajaan sedia ada dengan DAP bagi membolehkan kaum Cina menjadi pemerintah di negara ini.
Penulis blog kontroversi yang beroperasi dari luar negara, Raja Petra Kamarudin mendakwa, bagi merealisasikan impian itu, Kuok amat menginginkan gelombang perubahan di kalangan orang Melayu. – MalaysiaGazette