IPOH – Ulama dan umara tidak harus disalah tafsir sebagai dua golongan yang terpisah, bahawa satu dikhususkan kepada urusan agama, sementara yang satu lagi bertanggungjawab kepada urusan negara.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah, Islam tidak memisahkan kuasa agama dengan kepimpinan duniawi atau kuasa pemimpin daripada agama, hatta memperkukuhkan betapa pentingnya ulama dan umara saling bekerjasama melaksanakan tanggungjawab terhadap ummah.
Titah baginda, ulama dan umara mempunyai tugas dan tanggungjawab secara bersama kerana ilmu dan kuasa merupakan amanah Allah.
“Ulama dan umara adalah pewaris Nabi, ulama mewarisi ilmu – umara mewarisi kepimpinan.
“Ulama – sumber ilmu, umara – sumber kepimpinan. Ilmu dan kepimpinan tidak boleh dipisahkan, begitu juga rangkaian Ulama dengan umara,” titah baginda pada majlis Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan Kepemimpinan dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama dan Umara di sini hari ini.
Titah baginda, ulama adalah pemimpin tidak formal, berakar dalam masyarakat dan menjadi teladan kerana keluasan ilmu, keperibadian dan keikhlasan manakala umara pula dilihat sebagai kepemimpinan dalam pemerintahan yang diamanahkan dengan tanggungjawab secara formal dan berstruktur, memiliki bidang kuasa tertentu berlandaskan undang-undang untuk mengurus dan memimpin masyarakat.
“Umara adalah satu keperluan dalam masyarakat kerana tanpa umara, masyarakat boleh menjadi kacau bilau, dan syariah tidak dapat dilaksanakan. Ulama mempunyai tugas utama melakukan tafaqquh fid diin (memberi pemahaman tentang agama) dan memberikan peringatan kepada masyarakat serta membimbing umat dengan petunjuk-petunjuk ilahiah (ketuhanan),” titah Sultan Nazrin.
Baginda menegaskan bahawa adalah menjadi kebiasaan para ulama melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengambil kira kekejaman pemerintah.
“Tetapi sekarang, lidah para ulama telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, mereka tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan.
“Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana ulama. Sementara ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar.” titah baginda.
Terdahulu, ketibaan baginda bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta para pembesar negeri. Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa. – MalaysiaGazette