Home Nasional Hukuman penjara Fakhrulrazi kekal

Hukuman penjara Fakhrulrazi kekal

Tertuduh membuat pengakuan itu setelah kertas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan bulan terhadap bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar kerana menyebut kata-kata menghasut berhubung tuntutan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu siri protes jalanan, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Fakhrulrazi terhadap sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 25 Ogos 2016.

Mahkamah juga menolak rayuan silang pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas Mohd Fakhrulrazi yang kini merupakan Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN).

Hakim Azman berkata, keputusan Hakim Mahkamah Sesyen itu adalah selamat untuk dikekalkan dan hukuman tersebut adalah memadai serta tidak terlampau berat dan tidak terlampau ringan.

“Sehubungan itu rayuan atas sabitan dan hukuman ditolak,” katanya yang turut membenarkan permohonan peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Mohd Fakhrulrazi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah juga mengekalkan jumlah jaminan RM5,000 terhadap Mohd Fakhrulrazi.

Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Mohd Fakhrulrazi selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut di hadapan Kompleks Sogo, No. 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, pada 4.30 petang, 21 Feb 2015.

Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah dalam penghakimannya berkata mahkamah menjatuhkan hukuman itu kerana perkataan hasutan yang digunakan tertuduh mendatangkan kebencian dan ketidaksetiaan terhadap pentadbiran negara.

Hukuman adalah untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan mereka yang cenderung melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang dan mengambil kira kepentingan awam agar keselamatan tidak tergugat.

Mohd Fakhrulrazi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette