Home Politik Tangani politik kebencian pembangkang – Budiman

Tangani politik kebencian pembangkang – Budiman

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (dua kanan) diiringi Ahli Parlimen Sungai Besar, Yb Budiman Mohd Zohdi (kanan) beramah mesra bersama sebahagian pelajar yang hadir pada Program Sembang Kopi O 3.0 “Analisis Pra PRU 14: Citarasa Pengundi Bukan Melayu” di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu tangani persepsi politik kebencian terhadap parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak agar terus memenangi hati rakyat.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata, langkah itu penting agar status quo dua pertiga yang mahu dicapai Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

“Ada satu sahaja kaedah untuk menidakkan kerajaan BN (pada PRU-14) iaitu politik kebencian.

“Selain dari politik kebencian, mereka (pembangkang) tidak akan dapat jatuhkan BN kerana sekiranya penipuan yang berulang berkali-kali, akan diyakini betul,” katanya selepas menjadi salah seorang ahli panel program Sembang Kopi ‘O’ 3.0 yang diadakan di Dewan Perdana 1, Universiti Malaya (UM) malam ini.

Program bertajuk “Analisis Pra PRU14, Citarasa Pengundi Bukan Melayu”, antara lain menjemput Ahli Parlimen Baling, Datuk Azeez Abdul Rahim, Presiden Gagasan Pelajar India 1Malaysia, Dr. Mahaganapathy D. dan penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Sivamurugan Pandian.

Sementara itu, menurut Azeez, rakyat di negara ini perlu mengambil iktibar dari peristiwa berdarah yang berlaku di Arab Saudi dan Libya yang menerima perubahan negatif akibat revolusi politik.

Ujarnya, sehingga kini Libya gagal untuk bangkit semula selepas presidennya, Muammar Gaddafi digulingkan oleh rakyatnya.

“Tidak ada satu negara yang tukar pemimpin atas sifat kebencian boleh bangkit balik sampai hari ini.

“Kerajaan Arab Saudi di bawah Husni Mubarak, kerajaan Libya di bawah Muammar Gaddafi pun tidak boleh bangkit sebagaimana dahulu.

“Mana negara yang pulih selepas digulingkan oleh rakyatnya. Semua rakyat negara ini terutamanya anak mudanya merempat dan kini pegang senjata malah ada negara yang bagi batu kepada golongan mudanya tatkala melawan musuh yang bersenjata semua itu berlaku di Gaza dan Palestin,” katanya dalam program sama.

Malah Azeez yang juga Pengerusi Tabung Haji berkata, pengundi di negara tidak mempunyai sebab untuk menukar tampuk pemerintahan yang dipegang BN.

“Tidak ada sebab nak tukar kerajaan. Kalau kata BN ada unsur rasuah, pembangkang pun berdepan isu rasuah.

“Biar SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang jalankan tugas secara adil dan saksama. Mereka tidak kira siapa, semua orang mereka tangkap kalau terbukti terlibat dengan rasuah,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.