KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan memaklumkan dirinya akan menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bermula Khamis depan.
Dalam satu kenyataan yang diberikan kepada Malaysia Gazette, Wan Saiful berkata, satu majlis untuk mengumumkan perkara itu akan dibuat di ibu pejabat parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Saudara dijemput hadir ke sidang media pengumuman penyertaan rasmi Wan Saiful Wan Jan ke PPBM, pada 12 tengahari Khamis, 1 Mac di Galeri Perdana, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya,” katanya.
Menurut Wan Saiful, pengumuman itu akan dibuat Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini Wan Saiful dilaporkan meninggalkan jawatan di Ideas untuk menyertai PPBM.
Beliau sebelum ini adalah ahli seumur hidup Pas sejak tahun 1997.
Wan Saiful pengasas dan ketua pegawai eksekutif Ideas sejak 2009, jawatan yang akan dikosongkannya berkuat kuasa esok. -MalaysiaGazette.