KUALA LUMPUR – Malayan Banking Berhad (Maybank) merekodkan keuntungan bersih RM7.52 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, kenaikan 11.5 peratus berbanding RM6.74 bilion tahun sebelumnya.
Ia merupakan rekod keuntungan kali pertama melepasi RM7 bilion buat bank keempat terbesar di Asia Tenggara itu.
Maybank berkata, prestasi itu dipacu oleh pengukuhan dalam pendapatan bagi semua segmen periagaannya dan pasaran utama luar negara, kerugian rosot nilai yang berkurangan, selain pengurusan aset dan liabiliti lebih baik.
Pendapatan naik dengan marginal 2.1 peratus kepada RM45.58 bilion bagi tahun kewangan 2017 berbanding RM44.66 bilion tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, keuntungan bersih Kumpulan Maybank susut 9.7 peratus kepada RM2.13 bilion pada suku keempat yang berakhir pada 31 Disember lalu berbanding RM2.36 bilion pada tahun 2016 disebabkan peningkatan perbelanjaan overhed dan hasil jualan sekuriti pada tahun sebelumnya.
Pendapatan sukuan naik 4.8 peratus kepada RM11.79 bilion pada suku keempat 2017 berbanding RM11.25 bilion pada tempoh sama 2016.
Maybank berkata, perbelanjaan overhed bagi suku keempat 2017 naik 12.2 peratus tahun ke tahun disebabkan kos kakitangan, perundangan dan pemasaran.
Lembaga Pengarah Maybank mencadangkan untuk memberi ganjaran kepada para pemegang saham dengan dividen satu tingkat akhir sebanyak 32 sen sesaham.
Bersama dengan dividen interim 23 sen yang diisytiharkan sebelum ini, menjadikan bayaran penuh tahun kewangan sebanyak RM5.90 bilion atau 78.5 peratus daripada keuntungan bersih dan diterjemahkan kepada pulangan dividen sebanyak 5.6 peratus.
Ia sekaligus mengekalkan status Maybank dalam kalangan bank yang menawarkan hasil tertinggi di negara ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Farid Alias berkata, disiplin dalam penetapan harga dan pelaksanaan terancang pelan perniagaan sepanjang tahun membantu Maybank mencapai prestasi rekod untuk tahun lalu.
Katanya, tahun ini juga mencabar seperti tahun lalu memandangkan pasaran tidak menentu pada awal tahun ini.
“Kami tetap berhati-hati dengan kejutan secara tiba-tiba terhadap persekitaran dan akan mengekalkan pendekatan bijak dalam mencapai pertumbuhan dengan memberi tumpuan kepada keuntungan serta pengurusan kos dan kecairan berkesan bukan sekadar mengejar pertumbuhan pinjaman semata-mata,” tambahnya. – MalaysiaGazette