Home Nasional Sesi pendengaran persempadanan semula Selangor belum selesai

Sesi pendengaran persempadanan semula Selangor belum selesai

SHAH ALAM – Sesi pendengaran bagi persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) syor kedua untuk Selangor yang dijadual akan berakhir esok berpotensi untuk berlanjutan sehingga bulan depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, ia bergantung kepada hasil perbincangan yang sedang berjalan dan kemudian SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara dan bantahan yang dibangkitkan dalam sesi pendengaran persempadanan semula itu.

“Kami perlu melihat dan mempertimbangkan semula bantahan serta isu yang dibangkitkan sebelum mengeluarkan laporan akhir,” katanya kepada pemberita.

Menurut Mohd. Hashim, laporan akhir akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk pertimbangannya.

“Kami hanya akan membuat cadangan dan Perdana Menteri yang akan membuat keputusan sama ada mahu menerima cadangan dan membentangkan dalam Dewan Rakyat untuk diluluskan atau sebaliknya,” katanya lagi.

Untuk rekod, sesi pendengaran persempadanan semula membabitkan syor kedua bermula pada 26 Februari lalu.

Tambah Hashim wakil kerajaan Selangor dijangka menghadiri sesi pendengaran persempadanan semula itu esok.

Kali terakhir proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor dilakukan pada 2003 dan sepatutnya dijalankan pada 2011 namun terpaksa ditangguhkan berikutan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) diadakan pada 5 Mei 2013.

Perkara 1139(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh tidak kurang lapan tahun selepas setiap kali persempadanan semula sebelum itu dan tidak boleh melebihi tempoh 10 tahun.

Pada tahun 2003, laporan akhir persempadanan semula diserahkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada Mac 10 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 April tahun sama.- MalaysiaGazette