KUALA LUMPUR – Susulan penahanan ahli perniagaan yang disyaki menerima wang berjumlah RM19 juta dalam projek terowong dasar laut – Suruhanjaya Pencegaha Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini turut membekukan empat akaun bank milik syarikat lelaki itu yang berjumlah RM3.6 juta.
Menurut sumber SPRM, pihaknya turut menyita empat buah kenderaan mewah iaitu Toyota Vellfire, Mercedes Benz, Land Rover dan Hyundai Starex.
Ia dianggarkan bernilai kira-kira RM1.3 juta serta tiga buah televisyen bernilai RM167,900.
Selain itu, sebuah rumah bernilai kira-kira RM2.5 juta milik suspek yang terletak di Petaling Jaya juga disita.
Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Menurutnya, pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul segala bukti bagi membantu siasatan kes tersebut.
Suspek yang bergelar Datuk Seri itu hari ini direman selama enam hari selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya oleh SPRM sekitar 9 pagi.- MalaysiaGazette