Home Nasional Suspek pencabul wanita di LRT dicekup RapidKL

Suspek pencabul wanita di LRT dicekup RapidKL

Konstabel Marzimi Yakub (kiri) bersama Konstabel Hisham Hakima Che Sidik (kanan) anggota SAT Polis Bantuan Prasarana, membawa suspek kes cabul ke Pejabat Polis Bantuan Prasarana di Stesen LRT Masjid Jamek bagi tujuan dokumentasi sebelum diserahkan kepada polis.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 31 tahun yang disyaki terlibat dalam kes mencabul seorang penumpang wanita di dalam LRT berjaya dicekup polis.

Suspek ditahan oleh anggota Unit Tindakan Khas (SAT) Polis Bantuan Prasarana pada petang Sabtu lalu.

Jurucakap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, dalam suspek berjaya dikesan di Stesen Monorel Imbi sekitar jam 1.35 petang ketika sedang keluar daripada tren.

“Anggota SAT yang sedang meronda dengan berpakaian preman telah terserempak dan seterusnya menahan suspek itu.

“Pengecaman dibuat menerusi gambar dari rakaman kamera litar tertutup sebelum suspek sendiri mengaku gambar yang terpapar adalah wajahnya.

“Suspek kemudian dibawa ke pejabat Polis Bantuan Prasarana untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada hari yang sama,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah jurucakap Prasarana lagi, dalam kejadian yang berlaku pada 14 Disember 2017, pengadu mendakwa dicabul oleh seorang lelaki ketika menggunakan perkhidmatan LRT dari stesen Pasar Seni ke Stesen Masjid Jamek.

Setelah tiba di stesen Masjid Jamek, mangsa dan polis bantuan mengejar suspek namun suspek melarikan diri.

Berikutan kejadian itu, sebuah pasukan SAT melancarkan gerakan menjejaki suspek dengan muat turun gambar yang telah dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup.

Jelasnya, hampir setiap hari pemantauan dilakukan disetiap rangkaian pengangkutan kendalian Rapid KL sehingga suspek berjaya diberkas.

“Rapid KL ingin menasihati kepada pengguna agar melaporkan terus sebarang kes jenayah kepada kapten bas, pegawai operasi di stesen atau polis bantuan sekiranya anda menjadi mangsa atau melihat kejadian seumpama itu.

“Pengguna LRT, MRT, Monorel, BRT dan bas Rapid KL juga boleh mengunakan aplikasi “Whatapps” untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah dengan menghantar Hantar gambar beserta butiran kejadian seperti no tren, lokasi, tarikh dan masa ke nombor 010-766 4472.

“Pihak kami berjanji akan mengambil tindakan segera berdasarkan maklumat selain pengguna juga diminta berhubung dengan kami menerusi aplikasi media sosial Rapid KL Facebook dan Twitter atau hubungi talian bantuan Rapid KL.

“Tindakan sesetengah pihak yang sanggup memuat naik gambar kejadian seperti ini ke dalam media sosial dengan tanpa membuat laporan kepada Rapid KL atau pihak berkuasa akan menyukarkan siasatan,” ujarnya.

Jurucakap Prasarana percaya suspek mungkin akan mengubah identiti ketika menggunakan perkhidmatan awam bagi mengelak dikesan sekiranya diviralkan sesuka hati dalam media sosial.- MalaysiaGazette