Home Ekonomi Tokpa ketuai delegasi ke Pemukiman Menteri AEM

Tokpa ketuai delegasi ke Pemukiman Menteri AEM

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Pemukiman dan Mesyuarat Berkaitan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) bermula semalam sehingga 3 Mac ini di Singapura.

Pada mesyuarat tersebut menteri-menteri ekonomi akan bertukar-tukar padangan mengenai 12 keutamaan ekonomi, pemantauan dan penilaian rangka kerja pengoperasian AEC 2025 serta memberi taklimat terkini terhadap hubungan luar ASEAN.

Rundingan dengan Pesuruhjaya Perdagangan AEM-EU ke-16 akan diadakan esok yang akan dipengerusikan bersama Pesuruhjaya Perdagangan EU, Cecilia Malmstrom.

Rundingan dijangka berkisar mengenai kemungkinan untuk meneruskan semula Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-EU di samping memaklumkan mengenai program kerja perdagangan dan pelaburan ASEAN-EU pada 2017-2018 di samping memberi taklimat terkini dan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan terkini ekonomi global dan serantau.

Mesyuarat peringkat menteri Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) akan diadakan pada 3 Mac yang mana semua menteri RCEP dijangka berbincang untuk mempercepatkan proses rundingan terutama berhubung akses pasaran kepada barangan, perkhidmatan dan pelaburan di samping peraturan-peraturan dan kaedah untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan bagi mengukuhkan lagi rangkaian nilai di rantau ini. – MalaysiaGazette