Home Politik Wan Saiful tak kisah dikritik kaki u-turn keluar Pas

Wan Saiful tak kisah dikritik kaki u-turn keluar Pas

Wan Saiful Wan Jan

PETALING JAYA – Bekas Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan tidak kisah dikritik kaki u-turn selepas keluar daripada Pas dan menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Wan Saiful yang menjadi ahli Pas sejak 1997 mengumumkan penyertaannya secara rasmi bersama PPBM dan dilantik sebagai timbalan pengarah strategi dan dasar parti yang akan bergandingan dengan Datuk Datuk Rais Hussin.

“Ada juga yang akan berfikir bagaimana mungkin Wan Saiful bersekongkol dengan individu seperti Tun Dr Mahathir yang pernah dikatakan sebagai mahafiraun.

“Bagaimana mungkin saya dengan Tan Sri Muhyiddin yang pernah saya bangkang semasa beliau timbalan perdana menteri, tapi hakikatnya kita mahu mendepani dan menangani masalah besar yang melanda negara hari ini, maka kita perlu melakukan tindakan pada hari ini,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

Menurut Wan Saiful, beliau memilih untuk terlibat aktif dalam politik yang memihak serta tidak lagi bekerja dengan semua parti politik kerana merasakan ada keperluan untuk memastikan perubahan berlaku di Malaysia.

“Saya kehilangan sumber pendapatan utama dan bermula hari ini secara rasminya pendapatan bulanan saya ialah kosong, selepas ini akan ada pihak yang cuba mencari jalan melaga-lagakan saya dengan parti baharu yang saya pilih ini.

“Keazaman politik tidak wujud dalam pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini, penyelesaian sebenar hanya akan berlaku jika semua bangkit menolak dan menjatuhkan UMNO dan BN dalam PRU akan datang,” katanya.

Sebelum ini Wan Saiful dilaporkan meninggalkan jawatan di sebuah NGO, Ideas, badan pemikir yang beliau asaskan bersama dua rakan yang lain di London lebih sembilan tahun lalu, untuk menyertai PPBM.

Beliau sebelum ini adalah ahli seumur hidup Pas sejak tahun 1997. – MalaysiaGazette