Home Dunia El Al minta bantuan antarabangsa untuk akses ruang udara Arab Saudi

El Al minta bantuan antarabangsa untuk akses ruang udara Arab Saudi

TEL AVIV – Syarikat penerbangan Israel telah meminta kumpulan pelobi industri penerbangan untuk membantu mengakses ruang udara Arab Saudi bagi membolehkannya bersaing dengan Air India yang merancang menyediakan perkhidmatan udara antara India dan Israel.

Permohonan tersebut dinyatakan dalam sepucuk surat yang ditulis Ketua Pegawai Eksekutif El Al kepada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang menyatakan beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri Israel menegenai perkara tersebut, lapor Reuters.

Arab Saudi tidak mengiktiraf Israel walaupun terdapat
hubungan antara sekutu-sekutu Amerka Syarikat.

Rayuan itu sebagai maklum balas daripada rancangan Air India pada bulan lepas untuk memulakan penerbangan terus ke Tel Aviv dengan menggunakan ruang udara Arab Saudi, laluan yang lebih pendek yang tidak dibenarkan kepada semua pesawat komersial menuju ke Israel ketika ini.

Tiada sebarang pengumuman rasmi sama ada Air India telah menerima kebenaran untuk terbang di ruang udara Arab Saudi untuk cadangan meyediakan penerbangan tiga kali seminggu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif El AL yang kini berpaling kepada ketua IATA, Alexandre de Juniac, menyatakan beliau memahami tiada kebenaran seumpama itu akan diberikan kepada syarikat penerbangan Israel dan meminta Juniac campur tangan untuk menghalang ‘ketidaksaksamaan persaingan’.

“Saya mendekati anda dan meminta IATA masuk campur dan mewakili kepentingan industri penerbangan dengan menganjur hak sama rata kepada semua syarikat penerbangan terhadap Arab Saudi dan menentang sebarang diskriminasi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif El AL, Gionen Usishkin dalam surat yang dilihat Reuters.

Keahlian IATA merangkumi 280 syarikat penerbangan di 120 buah negara.

Usishkin berkata, beliau juga telah meminta bantuan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menyelesaikan isu itu.

El Al masih belum menerima sebarang respon.

Kini El Al menyediakan empat penerbangan seminggu ke Mumbai, namun penerbangan itu mengambil masa selama tujuh jam berbanding lima jam kerana syarikat penerbangan itu menggunakan laluan ke selatan menghala ke Habsyah dan seterusnya ke India, bagi mengelak ruang udara Arab Saudi. Memendekkan lauan juga akan mengurangkan kos secara signifikan. – Agensi