Home Politik Jentera BN seluruh negara dalam keadaan siap siaga

Jentera BN seluruh negara dalam keadaan siap siaga

KUALA PILAH, 2 Mac -- Menteri Pertahanan merangkap Naib Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) Bahagian Kuala Pilah di Dewan Dato Bahaman hari ini. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA PILAH – Persiapan jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lebih baik berbanding PRU13, kata Naib Pengerusi BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata ini termasuklah kesiapsiagaan BN dalam menghadapi fitnah dan tohmahan pembangkang menerusi media sosial.

“Kita tidak ambil mudah PRU14 ini… PRU13 dahulu hebat juga (serangan yang dibuat kepada BN) yang mana saya akui kita ketika itu belum bersedia dan penjelasan tidak dibuat dengan kadar segera.

“Contohnya, isu pengundi Bangladesh, isu terputus bekalan elektrik di Raub, Pahang dan apabila kita terbukti tidak benar dan kita nak menjawab, sudah terlambat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran jentera PRU14 BN Parlimen Kuala Pilah di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi BN Kuala Pilah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim, Anggota Parlimen Kuala Pilah yang juga Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek, barisan pemimpin BN Kuala Pilah serta 3,000 anggota BN.-BERNAMA