KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan, MCA bukan parti yang menjadi kawan padanya.
Ini kerana, pada Pilihan Raya Umum-13 (PRU-13) lalu, bahagiannya di Padang Rengas telah bertindak memboikotnya hingga menyebabkan hubungannya dengan parti komponen Barisan Nasional itu menjadi rengang, katanya yang merupakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.
Akhbar berbahasa Cina dalam satu wawancara bersama Nazri melaporkan, sehingga kini belum ada sebarang sidang media dilakukan oleh parti tersebut untuk menarik balik kenyataan mereka memboikotnya.
“Seluruh jawatankuasa MCA Bahagian Padang Rengas memboikot saya, malah tidak menyokong saya secara terbuka, saya boleh buat apa? Jadi, MCA bukan kawan saya,” katanya kepada akhbar itu.
Nazri berkata, perkara itu jelas menunjukkan siapa yang tidak mengamalkan semangat BN.
Ujarnya, pemimpin MCA perlu memahami dan memberi perhatian terhadap tindakan setiap bahagian kerana PRU14 akan diadakan tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Nazri bertegas tidak akan meminta maaf kepada Tan Sri Robert Kuok kerana menyerangnya disebabkan taikun itu mengkritik kerajaan BN menerusi memoirnya.
Beliau turut mengingatkan MCA agar tidak menjadikan perkara itu isu perkauman kerana beliau ialah ‘menteri BN’ yang mewakili kerajaan BN.
Ujarnya, beliau akan membalas sebarang kritikan terhadap kerajaan, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“MCA perlu tahu saya hanya bercakap mengenai perkara ini dan saya bukan sengaja mengkritik sesiapa pun dalam masyarakat Cina. Ketika saya komen isu Robert Kuok, saya tidak pernah sebut atau menyerang MCA, saya tidak faham kenapa MCA menyerang saya?” ujarnya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut berkata, beliau tidak takut dan tidak akan meminta maaf walaupun berdepan seluruh jentera pilihan raya MCA secara bersendirian. – MalaysiaGazette