Home Nasional Terowong dasar laut: Seorang lagi ‘Datuk’ ditahan SPRM

Terowong dasar laut: Seorang lagi ‘Datuk’ ditahan SPRM

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, sebaliknya Najib dikehendaki hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pada Selasa ini.
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menahan seorang lagi ahli perniagaan dipercayai terlibat menerima wang berjumlah RM3 juta bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Menurut SPRM, suspek yang berusia 64 tahun bergelar Datuk itu dipercayai menerima wang daripada syarikat pembinaan utama projek tersebut selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Syarikat berkenaan membayar wang tersebut menerusi empat transaksi pada tahun lalu.

Difahamkan, pada asalnya, suspek telah meminta RM4 Juta sebagai habuan bagi menutup kes yang dalam siasatan SPRM itu.

Bagaimanapun, jumlah itu dikurangkan kepada RM3 juta selepas rundingan dilakukan.

“Pihak syarikat yang yakin dengan masalah itu mampu diselesaikan oleh suspek membuat pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai habuan,” kata sumber SPRM.

Suspek ditahan di sekitar ibu negara kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Suspek tersebut merupakan individu kedua yang ditahan kerana dipercayai terlibat menerima wang bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut itu.

Pada Selasa lalu, SPRM menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri kerana dipercayai terlibat menerima wang berjumlah RM19 juta bagi menutup kes siasatan projek itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

“Saya juga meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan siasatan kes tersebut dan memberikan masa kepada SPRM untuk menyiasat kes tersebut dengan terperinci.

“Suspek akan dihadapkan ke mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman,” katanya.- MalaysiaGazette