Home Dunia Imigresen disiasat berhubung kapal Equanimity

Imigresen disiasat berhubung kapal Equanimity

Kapal Equanimity yang dikaitkan dengan Jho Low. foto Agensi

JAKARTA – Siasatan berhubung kapal mewah yang dikaitkan dengan kes kewangan merentas sempadn masih diteruskan dengan menyoal siasat pejabat imigresen dan pihak berkuasa pelabuhan Benoa.

Polis menyita kapal Equanimity di luar perairan Bali selepas mendapat permohonan daripada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bagi tujuan siasatan berkaitan kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak polis sedang mengenal pasti samada kapal berkenaan melanggar prosedur imigresen semasa memasuki perairan Indonesia serta menyiasat tujuannya berada di Bali.

“Kami masih dalam proses memadankan data yang kami peroleh dari kapal layar dengan data yang kami dapat dari FBI,” kata Komander Kanan Daniel Tahi Monang Silitonga, Timbalan Pengarah Jenayah Kewangan di Unit Detektif Polis Kebangsaan, di Bali.

Menurut polis, kapal layar itu memasuki pelabuhan Benoa di Bali pada 20 November tahun lalu, tetapi pergerakannya setelah tiba tidak diketahui.

Polis telah menyoal kapten kapal dari Afrika Selatan, yang dikenal pasti sebagai Rolf dan dua anak kapal lain.

Polis mengesyaki kapten itu sengaja mematikan sistem pengenalan automatik (AIS) semasa pelayarannya di perairan Indonesia untuk mengelak FBI, tribunnews.com melaporkan.

Sejumlah 29 anak kapal dari pelbagai negara ditahan polis.

Peguam anak-anak kapal itu, Rando Purba berkata, kapal itu memasuki perairan Indonesia dengan tujuan bercuti dan menafikan mereka cuba elak dari FBI.

Rando menadakwa beliau mematikan AIS bagi mengelak potensi ancaman di Laut Andaman sebelum memasuki Phuket, Thailand.

Dari Phuket, kapal itu ke Bali dengan sistem AIS dihidupkan semula.

“Para krew menerima amaran daripada pihak berkuasa tempatan dalam perjalanan dari Colombo ke Phuket bahawa mereka berada dalam zon lanun. Mereka menghantar amaran kepada semua kapal layar yang menyeberangi Laut Andaman, bukan hanya untuk kapal layar itu sahaja,” kata Rando.

Kapal layar yang didaftarkan di Pulau Island telah mengembara sekurang-kurangnya lima tempat pelancongan di Indonesia, termasuk Raja Ampat di Papua Barat dan Kepulauan Maluku.

Rando mengesahkan Equanimity tiba di Indonesia pada 20 November 2017 dan mengembara ke beberapa kepulauan nusantara untuk menghiburkan tetamu.

Bagaimanapun tiada ada tetamu dalam kapal berkenaan semasa ia diserbu.

Equanimity dipercayai milik Jho Low, individu yang didakwa memperoleh AS$ 50 juta (RM196.5 juta) menggunakan wang yang dipindah milik daripada 1MDB.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam tuntutan sivil mendakwa jumlah wang yang besar telah dipindah milik daripada 1MDB oleh pegawai dana itu dan sekutu-sekutunya.

1MDB disiasat bagi pengubahan wang haram di enam negara termasuk Hong Kong, Amerika Syarikat dan Switzerland. – MalaysiaGazette