KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 orang pengguna air dari Lembah Klang hari ini membidas kegagalan pihak pengurusan air dan kerajaan Selangor yang didakwa gagal menyelesaikan isu gangguan bekalan itu sejak beberapa tahun lalu.
Rata-rata mereka mempersoalkan sikap tidak mengambil peduli dan diskriminasi yang ditunjukkan kerajaan negeri serta pihak pengurusan Air Selangor dalam menyediakan air berkualiti untuk penduduk.
Presiden Gerakan Pengguna Air Bersih Selangor, Sahalmi Saib mendakwa gangguan dan kualiti bekalan air menjadi isu bermusim yang terpaksa dihadapi penduduk Cheras dan juga Lembah Klang hampir lima tahun lalu.
Malangnya kata beliau, pengurusan air dan kerajaan negeri gagal sehingga kini gagal mencari penyelesaian terbaik berjangka panjang dalam isu air di Lembah Klang.
“Kebanyakan menerima notis gangguan air 6 Mac ini, tapi takkanlah setiap kali air dihentikan, kamu turun naik tangga dari rumah bertingkat dengan baldi dengan cara kuno.
“Apa penyelesaian sementara hadapi gangguan ini, Harapkan pihak Air Selangor sediakan lori ‘air’ pun tidak ada.
“Harapkan MB (Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) juga tiada perubahan. Kata peduli masalah rakyat, tapi isu air sejak lebih lima tahun lalu tak diambil peduli.
“Cakap bersih, tapi tak (mampu) jamin air bersih,” keluh beliau kepada pemberita ketika ditemui di Taman Desan Aman di sini hari ini.
Kata Sahalmi, selain gangguan air,penduduk juga berdepan tekanan air rendah dan kotor serta kadar bil air yang tinggi memberi impak penyaraan kos hidup.
“Saya akan menyerahkan memorandum yang merangkumi input permasalahan air penduduk kepada Azmin pada hari esok untuk pandang serius hal ini dan jika Air Selangor dan kerajaan negeri gagal cari penyelesaian segera dan tetap, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang,” tegasnya.
Sebahagian besar penduduk berkumpul sambil membawa plakad tertera perkataan seperti “Jangan Menafikan Hak Rakyat Selangor dan ‘Tangani Segera Isu Air, ‘Air Selangor memalukan, rakyat jadi mangsa’ dan ‘Jangan Cabar Kami”.
Dalam isu berkaitan, seorang penduduk, Zainun Mohd. Yusof, 46, mendakwa setiap kali berlaku gangguan air, dia terpaksa ke kedai membeli air mineral lebih sedozen untuk memasak dan minum.
“Setiap kali berlaku gangguan air, tiada bekalan air alternatif disediakan pengurusan air mahu pun kerajaan negeri sehingga keadaan menjadi kritikal dan air yang diterima bertekanan rendah dan kotor berkarat ancam kesihatan kami semua.
“Mampus kami jika menggunakan air kotor kekuningan itu untuk masak dan minum. Kalau nak harapkan syarikat Air Selangor sediakan tangki air sementara, tidak ada…sudah rimas dengan mereka,” dakwanya lagi.
Dalam pada itu, A. Perumal, penduduk Taman Desa Aman mendakwa setiap aduan mengenai ketiadaan air tidak diambil peduli oleh Air Selangor dan wakil rakyat negeri itu.
“Kalau menelefon pihak berkuasa tidak melayan panggilan kami dan kami sekeluarga terpaksalah tunggu tanpa makan minum dan mandi sehingga gangguan air selesai,” katanya. – MalaysiaGazette