Home Utama Seorang maut, kren bina landasan MRT tumbang

Seorang maut, kren bina landasan MRT tumbang

Keadaan kren yang tumbang ketika kerja-kerja pembinaan landasan MRT di jinjang malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja pembinaan maut manakala dua lagi terselamat selepas sebuah kren di tapak pembinaan landasan MRT di Jalan Jinjang, di sini, tumbang dalam kejadian lewat malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11.49 malam.

Seramai 30 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Sri Hartamas dan Hang Tuah ke lokasi untuk kerja menyelamat, katanya.

“Pemeriksaan awal mendapati sebuah kren di tapak pembinaan landasan itu menggelungsur dan tumbang.

“Seorang mangsa dilaporkan jatuh manakala dua lagi mangsa terperangkap dalam kren yang tumbang itu dengan ketinggian kira-kira 12 meter.

“Anggota kita terpaksa menggunakan jentera Turn Table Ladder (TTL) untuk menurunkan kesemua mangsa yang terperangkap itu,” katanya dipetik sebagai berkata.

Ujarnya, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan dikenali dengan nama Firdaus Md Taib, 41.

“Dua lagi mangsa selamat namun seorang daripadanya cedera pada pergelangan kaki dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan. Kedua-dua mangsa berusia 24 dan 38 tahun.

“Mangsa terakhir diturunkan menggunakan TTL pada 1.15 pagi sebelum operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada 2 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette