Home Nasional Jangan jadikan isu keselamatan bahan sendaan, mainan politik – Agong

Jangan jadikan isu keselamatan bahan sendaan, mainan politik – Agong

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR – Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menjadikan isu keselamatan negara sebagai satu gurauan dan dipolitikkan demi kepentingan pihak tertentu.

Baginda bertitah, ini kerana ancaman ke atas keselamatan dan keamanan negara merupakan sesuatu yang nyata dan muncul dalam pelbagai bentuk.

“Beta menyeru supaya kerajaan terus mempertingkatkan tahap kesediaan terutamanya dalam penguatkuasaan termasuk di ruang siber, keupayaan risikan, rondaan di sempadan dan perairan negara serta usaha membanteras aktiviti pemerdagangan orang.

“Beta juga berharap tiada pihak yang menjadikan isu keselamatan negara sebagai bahan sendaan dan mainan politik,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Sidang Dewan Rakyat ke-13 di Parlimen, di sini, hari ini.

Sebahagian Ahli-Ahli Parlimen turut hadir pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2018

Baginda bertitah, penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda dan pelajar kini merupakan satu ancaman dan semakin seirus.

“Beta menggesa semua pihak menggambil langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk membanteras acaman tersebut,” titahnya.

Sultan Muhammad V juga menyokong cadangan kerajaan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah yang disebarluaskan di laman sosial.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2018

“Media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai-nilai dan budaya sesuatu masyarakat.

“Semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan nilai-nilai baik masyarakat,” titahnya. – MalaysiaGazette