KUALA LUMPUR – “Ketiadaan DAP (dalam tahaluf siyasi) tidak pernah menjejaskan undi utama Pas iaitu undi orang Islam Melayu,” kata Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengakui selepas Pas tidak lagi bersama Pakatan Rakyat yang kini Pakatan Harapan – undi daripada bukan Islam akan merosot.
“Cuma dia menjejaskan sokongan dan mungkin banyak daripada kawan-kawan bukan Islam.
“Ada pun undi orang Islam Melayu dan masyarakat bukan Islam yang telah lama faham dengan Pas, saya yakin mereka yang faham Pas tidak akan lari daripada Pas.
“Pengundi Islam Melayu juga saya yakin akan bertambah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam ke-13 Sidang Dewan Rakyat di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Sebaliknya, kata Nik Mohamad Abduh, DAP pula kini di ambang perpecahan undi dalam kalangan pengundi bukan Islam selepas ketiadaan Pas sebagai rakan tahaluf siyasi.
“Apa yang berlaku kepada DAP hari ini, kita sendiri tahu undi bukan Islam juga pecah kepada DAP,” katanya.
Ditanya tentang kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai parti komponen Pakatan Harapan, beliau menyifatkan ia memberi ‘kelebihan’ kepada Pas.
“Itu baik untuk Pas kerana ia ‘memecahkan’ undi UMNO. Serangan Tun M terhadap Pas orang tak makan dah, cuma ia pecah macam dalam Barisan Nasional (BN),” katanya lagi – MalaysiaGazette.