KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen pembangkang diingatkan agar tidak membahaskan titah Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan perkara-perkara yang di luar topik hingga boleh mencetuskan ketegangan dalam Dewan Rakyat,
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan menegaskan, pembangkang sepatutnya memberi cadangan baik khususnya untuk mengatasi permasalahan rakyat dalam mendepani kos sara hidup.
“Kita jangan lupa untuk memberikan cadangan-cadangan yang baik bagi menyelesaikan beberapa masalah utama rakyat seperti kos sara hidup di mana kita (Barisan Nasional) sedang bantu untuk mengurangkannya.
“Pembangkang pula selalu mereka ini terkeluar daripada ruang lingkup titah, kadang-kala mereka menimbulkan perkara yang tiada kaitan langsung,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam ke-13 di lobi Parlimen hari ini.
Ahmad selaku Ahli Parlimen Pontian mengulas titah Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang memuji pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak susulan prestasi ekonomi negara semakin kukuh ketika dunia dilanda ketidaktentuan ekonomi.
Beliau juga berkata, kementeriannya akan memberikan fokus kepada aspek perdagangan yang kini menunjukkan prestasi memberangsangkan yang melebihi RM80 bilion pada setiap bulan.
“Ini adalah rekod berterusan untuk beberapa bulan, pada masa sama dari segi pertumbuhan yang tinggi, kadar pengangguran rendah, kadar inflasi terkawal, semua ini menunjukkan bahawa kita berada di landasan enar dan tepat.
“Ia memberikan dua peluang, iaitu pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat
“Harapan kita sidang Dewan Rakyat kali ini akan sentiasa meriah sebagaimana biasa dan mudah-mudahan ahli-ahli Parlimen dapat membahaskan titah YDAP Agong dengan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.