PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto peringkat nasional pada Khamis ini dalam mendepani Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.
Menurut Pengarah Strategi dan Dasar PPBM, Datuk Dr Rais Hussin, terdapat pelbagai peringkat manifesto yang akan dilancarkan di Shah Alam, antaranya tawaran di peringkat negeri, masyarakat Felda dan golongan muda.
“Kita ada manifesto berbeza, satu adalah di peringkat nasional dan manifesto negeri.
“Malah kita ada tawaran manifesto untuk golongan tertentu sebagai contoh masyarakat Felda, warga emas dan masyarakat India dan golongan muda,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.
Manifesto itu akan dilancarkan calon Perdana Menteri PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan calon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Jelas Dr. Rais, manifesto pembangkang merangkumi 130 muka surat yang meliputi lima teras dan beberapa janji yang dipercayai dapat ditunaikan sekiranya memerintah Putrajaya kelak.
“Semua manifesto akan diumumkan daripada teras utama manifesto kepada lima teras dan 10 janji dalam 100 hari (sekiranya memenangi Putrayaja), dan 60 janji dalam jangka masa lima tahun,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan yang menyertai parti itu minggu lalu.
Dr Rais berkata, isu dana politik turut dimuatkan dalam manifesto berkenaan sebagaimana yang dipraktikkan pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Jelasnya, dana politik telah dimasukkan dalam manifesto yang akan dilancarkan Khamis depan kerana ia adalah elemen penting dalam memastikan parti terus bergerak.
“Dasar dana politik telah dimasukkan dalam manifesto, dan kita akan lihat beberapa lagi dokumen yang dikemukakan kepada kita hari ini, dan lihat samada kita ada tertinggal apa-apa dalam isu dana politik.
“Kita akan pastikan manifesto ini lengkap dan kami tidak mahu janji sesuatu yang tidak boleh ditunaikan. Setiap janji yang kami buat, boleh ditunaikan dan itu penting kepada gabungan pembangkang,” katanya.
Sebelum ini PPBM menerusi Mahahtir merayu derma orang ramai untuk perjuangan partinya.
Dalam video berdurasi dua minit 45 saat dalam Facebook rasmi PPBM, Mahathir merayu agar orang ramai memberikan sumbangan kepada partinya untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan BN. – MalaysiaGazette.