Home Politik Cameron Highlands tetap kerusi MIC

Cameron Highlands tetap kerusi MIC

Datuk Seri S. Subramaniam

CAMERON HIGHLANDS – MIC akan terus ‘bermati-matian’ untuk kekal bertanding di Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Menurut Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, pihaknya yakin kerusi P078 yang selama ini menjadi antara ‘kerusi selamat’ MIC akan ditandingi oleh parti tersebut.

Jelas beliau, keseluruhan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) sedia maklum tentang perkara itu dan pihaknya yakin akan mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada komponen.

“Kita sudah lama gerakan jentera kita untuk turun padang di Cameron Highlands, malah harus diingat kerusi ini bukan kerusi baru ditandingi oleh MIC sebaliknya telah di tandingi oleh kami dan menang selama ini.

“Tidak ada persoalan adakah MIC akan bertanding di Cameron Highlands. Kita juga tidak ada sebarang masalah seandainya ada ‘komponen’ lain bekerja di sini kerana pada akhirnya, kemenangan BN adalah penting tetapi, ini adalah kerusi tradisi MIC,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek berjumlah  RM800,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Terla dan Persatuan Penganut Dewa Sri Maha Mariamman di sini hari ini.

Terdahulu, Subramaniam juga telah merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat BN Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata yang turut di hadiri oleh Penyelaras Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh.

Desas desus kuat mengatakan Sivarraajh yang juga merupakan Ketua Pemuda MIC bakal menjadi calon MIC di kerusi berkenaan.

Sebelum ini, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas mendakwa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan dikembalikan kepada parti itu berdasarkan janji bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2000.

Sejak PRU 2004, kerusi itu dimiliki MIC dan kini disandang bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel yang ketika ini merupakan ahli Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaan MIC pada tahun 2015 semasa krisis dalaman parti itu.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata, MIC akan menyokong penuh calon parti komponen BN yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan DUN Jelai yang berada di bawah Parlimen Cameron Highlands.

“Kerajaan BN banyak melakukan pembangunan serta pembaharuan di Cameron Highlands selama ini, penduduk di sini juga sedia maklum dengan perkara ini. Masyarakat India secara khusus akan menyokong mana-mana calon yang bertanding di kedua-dua DUN tersebut seandainya ia calon BN,” tegas beliau.-MalaysiaGazette