KUALA LUMPUR – Semua majikan di negara ini diingatkan tidak mengambil mudah perbuatan mereka hingga mencederakan Pembantu Rumah Asing (PRA) yang akan menjejaskan imej dan nama baik negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang negara bahkan bertentangan dengan hak asasi manusia.
“Sebarang perlakuan yang tidak baik oleh mana-mana majikan, rakyat Malaysia di negara ini memberi imej tidak baik kepada negara kita
“Saya amat prihatin mengenai perkara, jangan ingat perbuatan peribadi kita tidak menjejaskan nama negara.
“Apa dilakukan oleh Ambika MA Shan, 60, adalah sesuatu amat dikesali dan kita mengutuk perbuatan berkenaan atas nama peribadi dan nama kerajaan apatah lagi semua ahli Dewan Rakyat sama ada BN atau pembangkang tentu tidak bersetuju,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan kaedah pengambilan PRA secara langsung tanpa melalui ejen atau secara dalam talian.
Pada 21 Februari lalu, dua beranak, Ambika MA Shan, 60, dan anaknya, R. Jayavartiny, 36, dihadap ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas tuduhan mencederakan seorang amah warga Indonesia sehingga menyebabkan kematian dan melindungi warga asing tersebut secara tidak sah pada 11 Februari lalu.
Ahmad Zahid selaku Ahli Parlimen Bagan Datoh memberi amaran kepada majikan amah di negara ini agar tidak mengambil PRA secara haram tanpa melalui permohonan dalam talian yang disediakan kerajaan.
“Kita ingin mengingatkan majikan, jangan mengambil pembantu rumah asing secara tidak halal, iaitu pembantu rumah itu tidak pernah didaftarkan, majikan itu mengambil tindakan sendiri.
“Apa yang disediakan kerajaan untuk kemudahan rakyat harus diikuti bukan cari jalan lain untuk menyusupkan mana-mana pembantu rumah aisng.
“Saya cukup tegas dalam perkara ini dan hanya PRA yang diambil mengikut saluran perundangan saja akan dibenarkan,” katanya. – MalaysiaGazette.