Home Politik Fitnah rosakkan pemikiran pengundi – Hamzah

Fitnah rosakkan pemikiran pengundi – Hamzah

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin beramah mesra bersama penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 sambil diiringi Timbalan KPDNKK, Datuk Henry Sum Agong pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) agensi-agensi di bawah KPDNKK bagi tahun 2017 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto 06 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Hamzah Zainuddin meminta rakyat tidak menerima bulat-bulat fitnah yang diketengahkan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Hamzah berkata, sekiranya kerajaan tidak cepat menangkis fitnah dan dakyah palsu pembangkang, maka kerajaan Barisan Nasional (BN) akan tumbang pada pilihanraya kali ini.

“Kalau kerajaan BN masih dapat mempertahankan kedudukan untuk menangi PRU, ada kemungkinan saya masih lagi ada disini.

“Tetapi kalau PRU ini yang akan dirosakkan segalanya ekoran fitnah yang boleh merosakkan pemikiran rakyat akhirnya mungkin akan diambil alih oleh kerajaan lain. Maka ini mungkin kali terakhir saya berhadapan dengan saudara semua,” katanya dalam ucapan perasmian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 di Menara Berkembar Bank Rakyat hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu berkata, rakyat harus sedar pembangkang sering menabur fitnah kepada rakyat yang jelas dengan sesuatu perkara.

“Biarlah sehingga rakyat sedar tiada pihak lain selain BN yang boleh menentukan masa depan negara. Bukan orang yang buat fitnah, mencaci, dan buat cerita bukan-bukan,” katanya.

Bercakap di hadapan lebih 1,000 kakitangan agensi di bawah KPDNKK, Hamzah berkata, tahun ini adalah tahun paling mencabar buat kerajaan, justeru semua kakitangan kerajaan digesa agar terus menyokong kerajaan dalam membangunkan negara.

“Saya mohon agar anda semua benar-benar merasakan bahawa kita bersama bukan hanya untuk membangunkan kementerian ini, tetapi untuk membangunkan negara.

“Bukan hanya setakat nak makan gaji tetapi hanya untuk membangunkan negara. Walau peringkat mana kita ada sekalipun, kita ke hadapan jauh untuk menentukan negara menjadi sebuah negara maju.

“Kepada yang akan pencen, jangan fikir untuk tidak lagi bersama dengan kita, kerana dia juga mempunyai ahli keluarga yang boleh kita berikan input untuk membantu pengurusan dan kepimpinan untuk membangunkan negara ini,” katanya.

Pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini, kerajaan BN akan membentangkan akta baharu bagi menangani penularan berita palsu yang kini dalam peringkat draf.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, draf akhir itu dijangka dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh terdekat. -MalaysiaGazette