PUTRAJAYA – Mengulang kaji secara berdisiplin dan konsisten merupakan resipi kejayaan Nurul Syahida Zainun Abidin muncul pelajar cemerlang orang kurang upaya (OKU) bagi kategori pelajar istimewa Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017.
“Setiap hari, saya akan pastikan diri saya mengulang kaji pelajaran selama tiga jam dan saya tidak boleh diganggu pada masa itu,” kata pelajar St John Institution, Kuala Lumpur itu.
Nurul Syahida, pelajar OKU buta memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.90.
Pelajar itu turut menyifatkan kejayaannya itu atas dorongan ibu bapa tidak menganggap kecacatan yang dialami sejak berumur sembilan tahun akibat penyakit saraf sebagai satu kekurangan pada diri saya
“Saya sangat bersyukur dan teruja memperolehi keputusan ini. Usaha saya selama ini amatlah berbaloi,” katanya anak keenam daripada tujuh beradik itu kepada pemberita selepas menerima plak, sijil penghargaan dan RM1,000 daripada Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini, hari ini.
Nurul Syahida berharap keputusan itu akan menjadi tiket untuknya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang sejarah demi mencapai cita-cita menjadi pensyarah.- BERNAMA