Home Politik Cameron Highlands tetap milik mutlak MIC

Cameron Highlands tetap milik mutlak MIC

KUALA LUMPUR – MIC tetap bertegas kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah milik mutlak parti itu kerana ia secara tradisi memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Penyelaras BN Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh berkata, kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam jsemalam telah menguatkan lagi desas desus hanya calon dari partinya akan bertanding.

“Penjelasan yang telah diberikan oleh Presiden MIC telah mengukuhkan kenyataan bahawa kami dari MIC akan bertanding sekaligus memenangi kerusi itu untuk BN.

“Malah, kita juga telah menggerakan jentera pilihan raya sejak awal lagi bagi mendekatkan diri dengan para pengundi dan masyarakat di Cameron Highlands sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita juga diterima malah sangat dekat dengan penduduk Cameron Highlands, pada mereka selama ini yang menperjuangkan nasib mereka adalah kerajaan BN dan bukan pembangkang yang hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sivarraajh yang juga merupakan Ketua Pemuda Kebangsaan MIC, sejak menjadi penyelaras di kerusi ‘selamat’ BN itu, beliau telah berjaya mengeratkan hubungannya dengan bekerjasama dengan komponen lain termasuk MCA, Gerakan dan UMNO.

“Sesiapa saja calon MIC yang mewakili BN yang akan ditampilkan di parlimen ini pada PRU akan datang perlu memastikan momentum sokongan rakyat dan pengundi terhadap BN terus utuh bagi memastikan kerusi ini menyumbang satu undi kemenangan kepada BN.

“Saya juga amat yakin dengan keupayaan jentera BN di sini yang turut dibantu oleh UMNO dan parti komponen lain dalam memastikan anasir-anasir negatif dan hasutan yang cuba dibawa pembangkang dapat dipatahkan,” tegasnya.

Jelasnya, berdasarkan statistik terkini SPR, sehingga suku ketiga 2017, jumlah pengundi berdaftar adalah 14,806,185 orang.

“Daripada jumlah itu, 7.09 pengundi adalah mereka berusia 21 hingga 39 tahun atau boleh diketegorikan sebagai pengundi muda.

Sivarraajh berpendapat, jumlah 7.09 juta itu bukan sedikit malah memerlukan pendekatan dan gerak kerja yang menyeluruh bagi membolehkan setiap suara dan permasalahan mereka didengari.

“Parti politik khususnya BN perlu melakukan banyak lagi perancangan dan kerja selepas ini terutama untuk PRU15 yang pasti cabarannya jauh lebih hebat. Kami akan terus mendekati pengundi muda dalam dan luar bandar terutamanya dalam merealisasikan impian Transformasi Negara 2050 (TN50),” katanya.

Sebelum ini, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas mendakwa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan dikembalikan kepada parti itu berdasarkan janji bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2000.

Sejak PRU 2004, kerusi itu dimiliki MIC dan kini disandang bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel yang ketika ini merupakan ahli Parlimen Bebas selepas hilang keanggotaan MIC pada tahun 2015 semasa krisis dalaman parti itu.-MalaysiaGazette