Home Sukan Demi Chong Wei, Hasmah, saya datang – Tun M

Demi Chong Wei, Hasmah, saya datang – Tun M

Foto laman sosial rasmi Facebook Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Walaupun dengan kesibukan jadual kerja, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengesahkan kehadirannya pada tayangan perdana filem, Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat ini.

Menerusi laman sosial rasmi Facebook miliknya, bekas Perdana Menteri keempat itu berkata, beliau hadir demi pemain nombor satu negara dan isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.

Beliau juga mengajak pasangan pembaca berkongsi kisah pertemuan pertama dan akan memilih pasangan bertuah untuk menyertai dirinya dan Hasmah pada malam itu.

“Demi Chong Wei dan Hasmah, saya setuju!

“Jumaat ni (9 Mac 2018) saya dan Hasmah berpeluang menonton kisah juara badminton dunia, Dato’ Lee Chong Wei dalam tayangan perdana Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Tetapi Hasmah ingin berkongsi tiket tayangan sukan kegemarannya ini dengan mana-mana pasangan rakyat Malaysia.

Share gambar anda & pasangan serta ceritakan kisah pertemuan pertama anda berdua di ruang komen. Kami akan pilih pasangan yang bertuah pada hari Khamis ini (8 Mac 2018) dan berpeluang untuk double-date dengan saya dan isteri. Jumpa di sana!,” tulisnya.

Filem berkenaan akan ditayangkan di dalam stadium menggunakan layar gergasi LED berukuran 40 meter x 17 meter sekali gus menjadikannya sebagai majlis tayangan perdana filem terbesar di Malaysia.

Ia dijangka dihadiri sekurang-kurangnya 20,000 penonton dan bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records.

Filem arahan Teng Bee itu mengisahkan kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku sehingga menjadi pemain badminton nombor satu dunia.

Dalam majlis berkenaan, peminat juga boleh menyaksikan acara karpet sepanjang 100 meter yang mengalu-alukan kedatangan jaguh-jaguh badminton tanah air, para pelakon filem ini serta tetamu selebriti.

Pihak penganjur turut menjemput skuad badminton negara yang menjuarai Piala Thomas 1992 ke acara penuh bermakna ini.

Selain itu, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular yang bakal diumumkan kelak. Mereka akan menyanyikan lagu-lagu tema filem.

Sekurang-kurangnya 10 gerai penaja akan diadakan di dalam Stadium Nasional dan ia akan bermula sebaik pintu stadium dibuka pada pukul 4 petang.

Tiket berharga RM88, RM108, RM128 dan RM168 boleh dibeli menerusi laman web www.myticket.asia

Sebarang pertanyaan mengenai tiket boleh dikemukakan di talian 038605 0195. – MalaysiaGazette