Home Politik Jamal elak bersalam Tun M takut penyakit ‘suwey’ berjangkit 

Jamal elak bersalam Tun M takut penyakit ‘suwey’ berjangkit 

Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada pemberita selepas prosiding kes saman yang dikemukakan oleh bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah kepada beliau di luar kamar Mahkamah Tinggi Sivil, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengelak daripada bersalaman dengan Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun beliau berada dalam kamar sama ketika kes saman bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berlangsung.

Jamal berkata, beliau khuatir bersalaman dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan menyebabkan dijangkiti penyakit ‘suwey’ atau nasib malang Mahathir.

“Sebenarnya saya memang tak mahu jumpa Tun M, kalau boleh nak mengelak. Kalau saya jumpa Tun M, nanti saya jadi ‘suwey’. Jadi itulah sebabnya untuk mengelakkan ‘suwey’ ini, saya (duduk) jauh-jauh.

“Sebab itu dalam mahkamah saya agak jauh daripada Tun M kerana saya tidak mahu pun bersalaman dengan dia supaya penyakit seperti dia penyakit suwey ini tidak berjangkit kepada saya,” katanya ketika ditemui di luar kamar Mahkamah Tinggi Sivil, di sini, hari ini.

Pengeruri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) beredar selepas memberi keterangan dalam kes saman yang dikemukakan oleh bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah kepada Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Mahkamah Tinggi Sivil, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kehadiran Mahathir ke Mahkamah Tinggi Sivil hari ini untuk memberi keterangan kepada kes saman yang dikemukakan oleh bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah terhadapnya.

Sebelum ini, Mahathir gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan sepina yang diperoleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu supaya beliau hadir dan memberi keterangan dalam kes saman Maria Chin.

Peguam Ilyani Nor Khuszairy yang mewakili Mahathir pada 19 Januari lalu dalam satu prosiding berkata penolakan itu dibuat ketika kes disebut dalam kamar hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Ilyani memaklumkan mahkamah menolak permohonan Mahathir atas alasan bekas perdana menteri itu mempunyai pengetahuan berkaitan hal yang dibangkitkan selain ada mengeluarkan kenyataan ketika perhimpunan Bersih 3. – MalaysiaGazette