Home Ekonomi OPR 3.25% kekal

OPR 3.25% kekal

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menge9kalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Menurut BNM, pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan yang menggalakkan dalam keadaan inflasi yang lebih rendah.

Katanya, MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Tambah BNM, ekonomi global semakin teguh dan perdagangan global menunjukkan momentum pertumbuhan yang kukuh. Dalam ekonomi maju, peningkatan upah dan sokongan dasar akan terus mendorong pertumbuhan.

Di Asia, pertumbuhan akan dipacu oleh aktiviti domestik yang mampan dan permintaan luaran yang kukuh. Pelarasan yang berlaku dalam pasaran kewangan baru-baru ini, meskipun sementara, menunjukkan bahawa volatiliti mungkin akan timbul.

Menurutnya, ketegangan perdagangan juga meningkat dalam tempoh kebelakangan ini.

Pada ketika ini, risiko kepada prospek pertumbuhan global terus seimbang, menunjukkan perkembangan ekonomi global yang berterusan.

Bagi Malaysia, prestasi pertumbuhan yang kukuh pada suku keempat tahun 2017 terus disokong oleh perbelanjaan sektor swasta.

Pada masa hadapan, prospek pertumbuhan akan terus mampan berikutan prospek pertumbuhan global yang positif dan limpahan daripada sektor luaran kepada ekonomi domestik.

Permintaan dalam negeri akan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh keadaan pendapatan dan pasaran pekerja yang menggalakkan, perbelanjaan projek infrastruktur baharu dan projek yang sedang dalam pelaksanaan serta pelaburan modal yang mampan oleh firma dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Dengan dorongan tambahan daripada sektor luaran, pertumbuhan dijangka terus kukuh pada tahun 2018.

Purata inflasi diunjurkan lebih rendah pada tahun 2018 berikutan jangkaan bahawa kesan faktor kos global semakin berkurang, tambahnya.

Menurut BNM, kadar pertukaran ringgit yang semakin kukuh berbanding tahun 2017 akan mengurangkan kos import.

Harga tenaga dan komoditi dunia dijangka terus meningkat pada tahun 2018, namun pada kadar kenaikan yang lebih sederhana berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada harga minyak dunia yang amat tidak menentu.

Inflasi asas, yang diukur oleh inflasi teras, juga dijangka menurun disebabkan oleh produktiviti pekerja yang bertambah baik dan pelaburan yang berterusan untuk menambah kapasiti.

Pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan dan kenaikan nilai ringgit yang menyeluruh pada tahun lalu mencerminkan asas-asas ekonomi negara yang bertambah teguh.

Tambahnya, mudah tunai sistem perbankan juga mencukupi, dengan institusi kewangan terus beroperasi berlandaskan kekukuhan modal dan mudah tunai yang mencukupi.

Pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta terus meningkat dan menyokong kegiatan ekonomi. – MalaysiaGazette