HULU SELANGOR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak menasihati kepimpinan parti itu di Selangor agar tidak bertelagah sesama sendiri.
Jelasnya lagi, kepimpinan BN Selangor perlu akur akan sesiapa sahaja yang dicalonkan dan bukan faktor parti komponen kerana matlamat sebenar adalah untuk memenangkan BN pada PRU-14.
“Untuk kita berjaya dalam peperangan ini, kita mesti bersatu hati dan mesti anggap kalau UMNO menang, BN yang menang, kalau MCA yang menang, BN yang menang. Kalau MIC yang menang, BN yang menang.
“Kita tidak akan gaduh sesama sendiri. Ini pun satu punca dahulu (BN kalah di Selangor), jangan kerat sesama sendiri. Bila kita jadi pendek (lemah), kita kalah tidak cukup undi.
“Saya tahu Selangor ada penyakit ini, kita mesti hapus penyakit, ini resepi untuk menang,” katanya semasa melancarkan jentera Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor di Kampung Sungai Chik, Ulu Yam, Selangor hari ini.
Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Antara lain, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.
Najib berkata demikian dihadapkan 10,000 rakyat sekitar parlimen Hulu Selangor, punca BN kalah di Selangor bukan disebabkan parti itu lemah tetapi sikap tidak puas hati kerana orang pilihannya tidak dicalonkan.
“Cukuplah dua kali kita kena buli dan tipu rakyat. Cukuplah. Jangan tipu dua kali, kali ketiga mesti menang yakinlah BN lebih baik dari PH yang memerintah pada hari ini.
“Bukan kita tidak kuat, tetapi kita tembak kaki sendiri, sebab apa? Sebab kita nak naik, bukan sebab parti menang kita.
“Kita kuat kalau parti kita kuat,” katanya disambut laungan “Tawan Selangor” oleh orang ramai yang hadir. -MalaysiaGazette.