Home Politik PPBM ‘digunakan’ untuk raih sokongan

PPBM ‘digunakan’ untuk raih sokongan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) penting untuk membolehkan Pakatan Harapan menarik sokongan pengundi luar bandar dan kawasan Felda pada pilihan raya akan datang.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keupayaan PPBM itu membuatkannya unik daripada parti komponen Pakatan Harapan yang lain kerana sebelum ini pembangkang sukar mendapat kepercayaan daripada pengundi di kawasan-kawasan itu.

“Walaubagaimanapun kita akui PPBM mempunyai peranan yang unik untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi Melayu terutamanya dari kawasan Felda dan luar bandar.

“Dalam konteks itu memang PPBM mempunyai peranan yang istimewalah,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Parlimen.

Baru-baru ini Timbalan pengarah strategi dan dasar PPBM Wan Saiful Wan Jan berkata, PPBM perlu memimpin Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan gabungan pembangkang mendapat sokongan pengundi Melayu terutamanya di luar bandar.

Dalam pada itu, PH akan mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Khamis, di Shah Alam walaupun gabungan itu sehingga kini belum diluluskan oleh Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Beliau turut memberi jaminan bahawa manifesto yang mengandungi 60 janji akan tetap dilaksanakan di negeri-negeri yang ditadbir jika hasrat untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) tidak kesampaian.

“Ya kita akan laksanakan secara keseluruhan. Setiap negeri juga ada tawaran sendiri. Ia lebih fokus kepada tempatan ibarat manifesto mini. Sabah dan Sarawak dah lancarkan September tahun lepas,” katanya. – MalaysiaGazette