Home Utama Ramai lelaki Malaysia terpedaya godaan wanita Vietnam

Ramai lelaki Malaysia terpedaya godaan wanita Vietnam

Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong menunjukkan gambar wanita Vietnam bersama anaknya kepada media pada sidang media mengenai isteri warga asing melarikan diri bersama anaknya yang merupakan seorang warganegara di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 07 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Ramai lelaki terutamanya yang berbangsa Cina di negara ini menjadi ‘mangsa’ dan diperdayakan selepas berkahwin dengan wanita Vietnam.

Berdasarkan rekod sejak 10 tahun lalu, ramai rakyat Malaysia berhabisan ribuan ringgit selepas terpikat dengan wanita Vietnam melalui agensi mencari jodoh.

Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, selepas berkahwin beberapa tahun rata-rata warga Vietnam itu akan hilang dan dalam sesetengah kes membawa lari anak mereka.

Menurut beliau, mangsa mendakwa telah membayar hampir RM30,000 kepada agensi berkenaan sebelum dapat mengahwini gadis Vietnam.

“Selepas membayar agensi berkenaan, lelaki-lelaki ini akan menghabiskan berpuluh ribu ringgit lagi bagi berkahwin dengan wanita Vietnam ini secara sah. Pada mereka semuanya nampak indah.

“Namun selepas beberapa tahun, wanita-wanita ini akan meninggalkan mangsa, sama ada melarikan diri ke tempat lain atau ke negara asal mereka.

“Lebih memeritkan, hampir 90 peratus daripada kes ini rata-ratanya mempunyai anak hasil perkongsian hidup dengan mereka.

“Wanita-wanita ini secara tiba-tiba akan bertindak meninggalkan rumah atau melarikan diri dan jarang sekali kita dapat jejaki mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.

Michael menambah, selepas itu, si suami pula mengalami masalah perundangan kerana sukar mengesahkan penceraian kerana isteri hilang.

“Apabila perkahwinan mereka sudah berdaftar dengan sah, bagaimana mahu mendapatkan penceraian seandainya wanita-wanita ini melarikan diri? Lebih sukar apabila mereka melarikan diri ke negara asal.

“Ada juga usaha menjejaki mereka namun ada antara mereka pulang dengan kecewa apabila wanita itu enggan kembali atau lebih teruk ada mangsa yang dipukul oleh keluarga wanita-wanita itu di Vietnam.

“Antara punca mengapa wanita-wanita ini bertindak meninggalkan mangsa kerana kedudukan kewangan yang tidak stabil atau wanita-wanita itu memang sudah berniat untuk memperdayakan mangsa sejak awal lagi,” ujarnya.

Jelas Michael, pada tahun ini sahaja, pihaknya telah merekodkan aduan sebanyak 24 kes membabitkan wanita Vietnam melarikan diri selepas berkahwin dan mempunyai anak hasil perkahwinan tersebut.

“Wang bukan isunya kini, bayangkan anak yang dilahirkan itu secara tiba-tiba ‘hilang’ begitu sahaja. Biro aduan kita sentiasa di banjiri oleh ahli keluarga terutama bapa dan datuk nenek mangsa yang mahu kita bantu mereka,” katanya.

Justeru, Michael menasihati lelaki di Malaysia supaya jangan mudah  terperdaya dengan godaan gadis Vietnam dan perlu melakukan kajian terhadap latar belakang mereka.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Imigresen Malaysia.sila pantau kemasukan perempuan vietnam ke Malaysia..mereka ini musuh wanita malaysia!menghancurkan rmhtangga org malaysia dgn mengoda suami org.

Comments are closed.