Home Nasional Lima lagi premis perniagaan Pernama akan dibuka – Hishammuddin

Lima lagi premis perniagaan Pernama akan dibuka – Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima lagi premis perniagaan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) dirancang dibuka di seluruh negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata setakat ini terdapat 82 premis perniagaan Pernama yang dibuka terutamanya di dalam kem-kem Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata Pernama yang menawarkan produk dengan harga 35 hingga 45 peratus lebih murah menerima sambutan memberangsangkan dan ada keperluan serta permintaan untuk diteruskan.

Sebagai rekod, katanya pada Disember 2017, Pernama mencatatkan jualan runcit dan keperluan harian sebanyak RM3 juta, dan jumlah itu meningkat kepada RM3.1 juta pada Januari lepas.

“Kalau nak banding Oktober dan November tahun lepas jualannya hanya RM1.9 juta sebulan, kita nampak peningkatan hasil jualan sebanyak 37.7 peratus dengan perbezaan hasil jualan meningkat RM2.3 juta, ” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang ingin tahu perkembangan terkini transformasi dilaksanakan Pernama dalam membantu menangani peningkatan kos sara hidup dihadapi anggota ATM dan veteran.

–BERNAMA