KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap komited untuk meneruskan pencarian pesawat MH370 meskipun sudah empat tahun kehilangannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, nasib penumpang dan anak-anak kapal pesawat itu sentiasa dalam doa.
“Pencariaan terbaru yang sedang diusahakan kerajaan menunjukkan kita komited untuk mencari MH370 dan mengetahui nasib para penumpang,” kata beliau menerusi Facebook.
Pesawat Boeing 777 penerbangan MH370 hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014.
Usaha mengesan pesawat itu dilancarkan beberapa jam selepas kehilangannya di perairan Laut China Selatan hingga di kawasan terpencil di Laut Hindi yang diterajui oleh Australia.
Operasi pencarian itu membabitkan kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di pesisir barat benua selama 28 bulan dan ia dihentikan pada Januari tahun lalu.
Namun, kehilangan pesawat MH370 masih gagal merungkaikan misteri paling hebat dalam sejarah industri penerbangan global.
Pencarian bangkai pesawat MH370 itu kini diteruskan oleh firma Ocean Infinity dari Amerika Syarikat dijangka selesai pada pertengahan Jun ini.
Najib berkata, Malaysia juga komited mendorong komuniti penerbangan global untuk mengambil pelbagai langkah perlu bagi menjadikan ruang udara lebih selamat agar tragedi MH370 tidak berulang lagi. – MalaysiaGazette