Home Nasional SIP: Caruman hampir RM20j sejak dilancarkan

SIP: Caruman hampir RM20j sejak dilancarkan

Richard Riot

KUALA LUMPUR – Caruman Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang diperkenalkan kerajaan sebagai satu jaringan keselamatan sosial bagi membantu individu yang kehilangan pekerjaan atau menganggur telah mencapai kutipan sebanyak RM19,922,407 sehingga 15 Feb lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata, jumlah berkenaan dicarum 240,077 majikan yang berdaftar sejak skim berkenaan dilancarkan pada 1 Jan lepas.

Katanya, di bawah skim yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu walaupun belum sampai tempoh matang, untuk bulan pertama sahaja bayaran faedah sebanyak RM802,800 telah diluluskan kepada pemohon yang layak.

“Saya ingin menjelaskan sebenarnya pembayaran atau tarikh matang untuk dapatkan bayaran atau faedah pertama ialah pada 1 Jan 2019 akan tetapi atas keprihatinan kerajaan Barisan Nasional telah memperuntukkan RM122 juta untuk pastikan sistem ini amat berkesan.

“Dengan peruntukan begitu banyak setakat ini sehingga 28 Feb lepas walaupun belum sampai tempoh matang (daripada) pemohon seramai 2,471, pembayaran diluluskan (kepada) 1,336 (pemohon) dan dibayar sebanyak RM600 sebulan untuk tiga bulan, ” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang mahu tahu faedah diperoleh pencarum SIP.

Riot berkata, selain bayaran itu, pencarum juga diberi latihan melalui program ‘upscaling’ dan ‘rescaling’ bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dalam masa terdekat.

Katanya Perkeso turut melaksanakan sesi penerangan bersama pihak berkepentingan di seluruh negara yang dihadiri lebih 6,000 peserta termasuk majikan dan pekerja, selain program publisiti mengenai SIP secara aktif menerusi radio, televisyen, media cetak, ruangan advertorial dan media sosial.

SIP adalah skim yang memerlukan pekerja dan majikan mencarum seperti mana yang diamalkan ke atas Perkeso dan ia adalah inisiatif untuk memastikan pekerja mampu bertahan sekurang-kurangnya empat bulan sebelum mendapat pekerjaan baharu.

Skim itu bertujuan antara lain mengelakkan pengangguran, menyediakan perkhidmatan kaunseling pekerjaan dan menyediakan bantuan kewangan seperti elaun mencari pekerjaan yang diberikan kepada pekerja bagi satu tempoh tertentu sementara menunggu mereka mendapatkan pekerjaan baharu. – MalaysiaGazette