Home Dunia 186 suspek terlibat dalam rampasan kuasa dikesan

186 suspek terlibat dalam rampasan kuasa dikesan

TURKI – Pendakwa raya Turki mengeluarkan waran tangkap untuk 92 orang guru dan 94 yang lain dalam tiga operasi kerana disyaki ada kaitan dengan rampasan kuasa yang gagal pada 2016.

Guru-guru yang disasarkan dalam operasi di Ankara dan 19 wilayah lain, telah bekerja di sekolah-sekolah, dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Fethullah Gulen, menurut laporan media Anadolu.

Dalam operasi lain yang dilancarkan di Konya, Turki tengah dan 42 wilayah lain, pihak berkuasa mengeluarkan waran untuk 84 orang yang disyaki terlibat dalam rangkaian yang sama.

Polis telah menahan lapan ahli rangkaian Gulen dan sedang mencari dua lagi dalam operasi ketiga yang difokuskan di Mersin dan empat wilayah lain.

Ankara berkata, Gulen dan rangkaiannya adalah di belakang insiden rampasan kuasa pada Julai 2016 yang menyebabkan 250 orang terbunuh.

Gulen menafikan penglibatannya.

Susulan insiden itu, lebih 50,000 orang telah dipenjarakan dan 150,000 dibuang dan digantung dari tentera, sekolah dan institusi awam. – MalaysiaGazette