Home Ekonomi Akhirnya CPTPP dimeterai

Akhirnya CPTPP dimeterai

CPTPP
Gambar arkib: CPTPP

SANTIAGO – Selepas melalui pelbagai cabaran terutama apabila Amerika Syarikat bertindak menarik diri, 11 negara termasuk Malaysia berjaya memeterai perjanjian perdagangan Asia Pasifik di Santiago, Chile awal pagi tadi.

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Kerjasama Trans-Pasifik (CPTPP) itu bakal mengurangkan tarif perdagangan di antara negara-negara anggota.

Menteri Luar Chile, Heraldo Munoz yang dipetik BBC berkata, perjanjian tersebut menjadi petunjuk kukuh ke atas ‘penentangan kepada tekanan perlindungan, dalam usaha menjadikan dunia sebagai sebuah laman terbuka perdagangan’.

Perjanjian tersebut merangkumi pasaran yang melibatkan hampir 500 juta rakyat meskipun tanpa kehadiran Amerika Syarikat.

Perjanjian 12 negara anggota asal, dikenali sebagai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), kelihatannya tidak menjadi kenyataan awal tahun lalu apabila Trump menarik diri daripada pakatan itu, tiga hari selepas pelantikannya dalam usaha melindungi pasaran pekerjaan di Amerika Syarikat.

Baki 11 negara lain, dipimpin oleh Jepun dan Kanada, memuktamadkan pakatan perdagangan yang disemak semula Januari lalu. – MalaysiaGazette