Home Utama Bekalan air dijangka pulih tengah malam ini

Bekalan air dijangka pulih tengah malam ini

KUALA LMPUR – Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat tengah malam ini atau awal pagi esok bergantung kepada tekanan pada sistem agihan.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berkata, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang dikendalikan oleh Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) telah beroperasi dengan purata kapasiti 830 juta liter sejam.

Proses pengepaman bekalan ke Kolam Imbangan Bukit Tadun sedang giat dilaksanakan dan seterusnya penyaluran bekalan ke sistem utama dan kolam-kolam perkhidmatan bagi proses pemulihan.

“Pemulihan bekalan akan berlangsung secara berperingkat bergantung pada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan,” katanya sambil memberitahu status pemulihan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Sebahagian besar penduduk di daerah Petaling, Gombak, Shah Alam, Klang, Kuala Langat dan Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air sejak 6 Mac lalu berikutan kerja-kerja pembaikan kritikal di Loji Rawatan Air SSP3.

Mengikut jadual asal, kerja-kerja itu dijangka mengambil masa 24 jam hingga 48 jam sahaja.

Bagaimanapun, semasa kerja-kerja pembaikan hampir siap, Sistem Mampatan Udara di Loji Rawatan Air SSP3 pecah, menyebabkan kakitangan yang bertugas cedera.

Ekoran insiden itu, pemulihan bekalan air dilanjutkan sehingga Ahad ini.

Syabas juga memaklumkan Pusat Panggilan menghadapi kemasukan jumlah panggilan yang sangat tinggi dan menyebabkan pelanggan terpaksa menunggu lama.

Sehubungan itu, kami mohon kerjasama pelanggan untuk berhubung dengan kami atau mendapatkan maklumat melalui saluran-saluran berikut, selain talian panggilan 15300 atau 1800 88 5252. – MalaysiaGazette