Home Politik Kenapa tak hadkan kuasa di negeri pembangkang dulu?

Kenapa tak hadkan kuasa di negeri pembangkang dulu?

Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil diiringi Presiden Pakatan Harapan merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Pakatan Harapan merangkap Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Tuan Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Pakatan Harapan merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Pakatan Harapan merangkap Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Tuan Lim Guan Eng menunjukkan poster Pakatan Harapan pada Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di IDCC, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Pembangkang sepatutnya menghadkan kuasa dipegang ketua menteri dan menteri besar di negeri yang mereka kuasai terlebih dahulu sebelum menabur janji dalam manifesto.

Ismail Kijo

Pengerusi Barisan Nasional Ampang, Datuk Ismail Kijo menyifatkan manifesto diumum Pakatan Harapan sebagai janji kosong.

“Mengapa mereka tidak mulakan dengan menteri besar dan ketua menteri di Pulau Pinang dan Selangor?

“Kalau betul mereka mahu laksanakan, buatlah di kedua-dua buah negeri itu dulu. Manifesto menghadkan kuasa menteri ini bukan baru, tapi sudah agak lama ia diumumkan,” katanya.

Pakatan Harapan semasa melancarkan manifesto semalam mahu menghadkan kuasa menteri, perdana menteri dan timbalan perdana menteri selama dua penggal.

Ismail yang juga Ketua Bahagian UMNO Ampang turut membangkitkan mengapa kerajaan Selangor masih tidak menunaikan janji untuk memberikan pendidikan percuma walaupun ia diletakkan dalam manifesto sebelum ini.

“Mengapa universiti kerajaan Selangor masih mengenakan yuran. Bahkan sekolah agama rakyat di Selangor, yurannya lebih mahal daripada di negeri-negeri lain. Mengapa tidak dihapuskan yuran sekolah agama rakyat terlebih dulu?

“Bahkan, manifesto penambahbaikan penjawat awam juga boleh kita pertikaikan. Apa yang mereka lakukan kepada penjawat awam di negeri yang diperintah pembangkang sama seperti apa yang BN lakukan selama ini,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette