Home Nasional Pelan kecemasan Syabas teruk

Pelan kecemasan Syabas teruk

Kerajaan Pusat telah mengeluarkan dana serta mengambil alih liabiliti yang berjumlah RM25 bilion untuk aset-aset air negeri Selangor.

KUAL LUMPUR – Ratusan ribu pengguna di Lembah Klang terjejas dengan bekalan air tetapi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hanya mengemaskini maklumat sehari sekali.

Ketidakkcekapan dan sikap ambil mudah itu menyebabkan orang ramai tidak mendapat maklumat berhubung lokasi serta jadual lori tangki air ke kawasan penempatan mereka, kata Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), T Saravanan.

“Maklumat perjalanan lori tangki air langsung tidak dinyatakan.

“Sebagai pembekal perkhidmatan yang penting kepada rakyat, Syabas perlu mempunyai pelan kecemasan lebih baik bagi menangani masalah bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kebanyakan orang ramai mengadu tidak tahu di mana untuk mengambil air yang dihantar, malah ada mendakwa bekalan air dihantar pada lewat malam sehingga menyukarkan untuk mereka.

Sehubungan itu, WECAM menyarankan kerajaan negeri menggunakan perkhidmatan pengurus berkebolehan tinggi dalam menguruskan pelan kecemasan air di Lembah Klang.

“Kerajaan negeri perlu membuat pelaburan dengan membeli lebih banyak lori tangki air dan mewujudkan maklum balas perkhidmatan pelanggan yang lebih baik,” katanya.