Home Nasional Ada portal berita pakar buat cerita separa benar – Annuar

Ada portal berita pakar buat cerita separa benar – Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Biro Penerangan UMNO telah mengatur gerak kerja bagi menangani berita palsu dan memerangi persepsi yang disebarkan pembangkang menerusi media sosial dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 DISEMBER 2017

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui Bernama berkata, isu yang dihadapi biro tersebut bukan lagi isu stereotaip dan mudah diramalkan, sekali gus menuntut PRU14 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya itu perlu dikendalikan dengan cara tersendiri.

“Cabaran yang kita hadapi kini lebih kompleks, kita tidak boleh nak agak dari segi masa dan apa cerita yang nak direka. Kadang-kadang ada yang menggunakan sumber dari luar negara atau menggunakan agensi atau pihak yang seolah-olah berwibawa,” katanya.

Contohnya, beliau berkata, ada portal berita kononnya tempatan tetapi ia sebenarnya adalah ejen media antarabangsa berpengkalan di luar negara yang mempunyai niat dan agenda tersendiri.

“Mereka ni pakar dalam membuat berita palsu, mereka beli dan menyogok untuk dapatkan berita separa benar dan kemudian mereka putar, mereka ini pengguna media peringkat tinggi yang mempunyai misi. Mereka ada misi tertentu dan bukan hanya satu media yang nak melaporkan berita semata-mata,” katanya.

Annuar berkata, ia bukan lagi permainan pada peringkat tempatan, malah sudah menjadi global dengan pihak yang berkepentingan bukan berada di depan mata dan menambah kata, kerajaan akan menjadi mangsa sekiranya ia tidak mempunyai ketahanan serta kaedah sesuai untuk menangkis perkara tersebut.

“Kita tidak boleh dedahkan apa yang kita buat, tetapi yang pastinya kita tidak mahu rakyat terpedaya…rakyat perlu dapat sumber sahih walaupun ia mungkin lebih perlahan daripada berita palsu atau fitnah, yang penting sumber sahih itu mesti diperoleh sebab sekarang ini membina persepsi sudah jadi strategi yang digunakan sepenuhnya oleh mereka yang nak jatuhkan kerajaan,” katanya.

Annuar yang mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada PRU14 berkata, antara kaedah yang digunakan pihaknya dalam menyebarkan maklumat dan penerangan ialah menerusi program jelajah ‘Perjuangan For All’ serta program dalam talian ‘Anda Tanya, Kita Jawab’ menerusi portal UMNO.

“Di luar sana bermacam maklumat berlegar menerusi medium seperti Facebook (FB), Instagram dan Twitter. Kita memberi tumpuan bagaimana untuk menyampaikan maklumat yang betul kepada mereka ini.

“Bagaimanapun kita tidak terlalu pesimistik. Di luar sana juga ada majoriti senyap yang bukan sahaja siang malam main FB dan kerjanya menyebarkan berita dan sebagainya. Masih ramai sebenarnya yang bijak menilai, mereka baca apa yang ada dalam kumpulan WhatsApp dan FB tapi mereka bukan orang yang mudah dipengaruhi.

“Mereka boleh fikir sendiri dan cari maklumat. Sekarang ramai yang dah faham, kalau dapat satu berita, mereka selidik untuk pastikan berita itu palsu atau benar, bukan dapat berita saja mudah terpedaya dan terus emosi. Kita anggap kebijaksanaan rakyat Malaysia berfikir itu adalah aset,” katanya.

Dengan persediaan yang dilakukan hingga kini, beliau berkata, UMNO dan BN menyasarkan kemenangan dua pertiga kerusi pada PRU14.

“Sasaran kita nak menang semaksima mungkin kerana kita nak membentuk sebuah kerajaan yang kuat. Rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, kalau kita pilih kerajaan yang lepas pilihan raya baru nak bagi-bagi jawatan PM, nak kongsi-kongsi kau dua tahun aku dua tahun, itu kita sengaja terjun.

UMNO dan BN, katanya, sentiasa berusaha mengatasi persepsi, penipuan, kempen membenci dengan penuh kesabaran, justeru parti itu yakin rakyat akan membuat keputusan yang jujur semasa pilihan raya umum nanti. – Bernama