Home Politik Kemukakan bukti jika Pas terima duit UMNO

Kemukakan bukti jika Pas terima duit UMNO

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Nik Zawawi Salleh bercakap pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di Pejabat Pas, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Nik Zawawi Nik Salleh berkata golongan yang menuduh Pas menerima wang daripada UMNO harus mengemukakan bukti sekiranya tuduhan terhadap parti itu adalah benar.

Menurut Nik Zawawi, tuduhan terhadap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz adalah fitnah semata-mata yang dibawa oleh musuh Pas untuk melihat parti itu ditolak rakyat.

“Ini orang yang dakwa, samada betul atau tidak kita diajar supaya kemukakan bukti dan bagi pihak Nik Abduh, dia sudah menafikan tuduhan ini.

“Dakwaan ini adalah fitnah musuh kepada Pas. Kita pun tidak mahu layan perkara seperti ini,” katanya kepada Malaysia Gazette ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan kali ke-30 Pas Bandar Tun Razak, hari ini.

Penghujung bulan lalu, tular satu rakaman audio yang kononnya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui Pas menerima wang daripada UMNO.

Dalam rakaman audio selama 59 saat itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu didakwa mengaku mengambil duit UMNO atas kerjasama menjatuhkan’ DAP.

“Tok Guru Haji (Datuk Seri) Hadi (Awang) ambil duit UMNO. Ana ambil duit UMNO. Semua (yang dituduh tu) ambil duit UMNO dan kita berjaya antaranya dengan bantuan UMNO.

“UMNO yang menyebabkan kita berjaya dalam 10 hingga 11 aktiviti ini,” jelas suara dalam audio berkenaan.

Sehari kemudian, anak kepada bekas Mursidul Am Pas, Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau mengaku menerima wang daripada UMNO.

Pas sebelum ini terpalit kontorversi apabila didakwa menerima RM90 juta daripada UMNO.

Sarawak Report pada Ogos 2016 mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan Pas sebagai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan UMNO. – MalaysiaGazette.