Home Nasional Krisis air Selangor bukan salah kerajaan Pusat

Krisis air Selangor bukan salah kerajaan Pusat

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menafikan sekeras-kerasnya punca kepada masalah bekalan air di Selangor adalah disebabkan tindakan sabotaj penutupan paip utama seperti mana yang dilaporkan oleh Edisi Kantoi.

Laporan yang sama telah disiarkan pada tahun 2013/2014 dan kini diulang siar sekali lagi bagi menyalahkan Kerajaan Persekutuan.

Ia sebenarnya adalah satu percubaan untuk menyembunyikan ketidakcekapan Kerajaan Selangor dalam pengurusan air, kata Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Seri Zaini Ujang dalam satu kenyataan malam tadi.

Zaini Ujang

Menurutnya, rizab margin simpanan air di Selangor pada tahun 2017 adalah 0 peratus.

Faktor ini dikenalpasti antara penyumbang utama masalah bekalan air di Selangor.

Jika berlaku kerosakan loji, paip pecah atau kenaikan permintaan mendadak seperti di musim perayaan, kawasan-kemungkinan kawasan tertentu di Selangor mengalami gangguan bekalan air adalah tinggi, katanya.

Menurutnya, jalan penyelesaian kepada perkara ini termasuk;

(a) tambah bekalan air terawat menerusi pembinaan loji rawatan air baru

(b) kurangkan kadar air hilang (non-revenue water), contoh Selangor 32% (sasaran nasional 25%) dan

(c) kurangkan penggunaan perkapita, contoh Selangor 234 liter/kapita.hari (berbanding kadar nasional 209 liter/kapita.hari).

Jumlah gangguan bekalan air adalah petunjuk utama untuk mengukur tahap kecekapan perkhidmatan bekalan air. Sebagai contoh, Selangor mencatatkan jumlah gangguan tertinggi iaitu 259,537 gangguan pada 2016, berbanding Pulau Pinang 3,778, Melaka 2,267.-MalaysiaGazette